Monday, January 9, 2012

Reka bentuk dalaman dan lanskap

REKA BENTUK DALAMAN DAN LANSKAP
Salah satu cara peningkatan kehidupan dalam kediaman atau ruang awam supaya dapat meningkatkan status ruang tersebut agar selesa, selamat dan sesuai dengan cita rasa pemiliknya. Reka bentuk ruang dalaman terhasil daripada kombinasi beberapa elemen asas seni bina seperti tiang, dinding, lantai, siling dan atap.
Kategori reka bentuk hiasan dalaman terbahagi kepada dua iaitu reka bentuk ruang kediaman dan reka bentuk ruang awam dan komersil.

REKABENTUK PERSEKITARAN
Lanskap
Lanskap merupakan pemandangan yang boleh dilihat secara semula jadi ataupun buatan manusia. Ianya boleh dibahagikan kepada beberapa kategori yang merangkumi lanskap, kediaman, komersial, institusi, pinggir jalan dan kemudahan awam.

Jenis-jenis Lanskap
Lanskap lembut merangkumi penggunaan tumbuh-tumbuhan yang
meliputi pelbagai jenis pokok, tumbuhan renek dan tumbuhan tutup
bumi. Satu lagi jenis lanskap ialah lanskap keras atau kejur.

Peranan dan Fungsi Lanskap
Secara umumnya, lanskap mempunyai beberapa fungsi dan peranan utama.
(a) Fungsi Fizikal Tumbuhan Lanskap
mengawal hakisan tanah
memberi perlindungan dan teduhan
meredakan iklim
mengawal pencemaran alam
menjadi tirai dan dinding
mengarah pergerakan atau petunjuk arah
imbangan ekologi dan kehidupan fauna
(b) Fungsi Estetik Tumbuhan Lanskap
membentuk ruang
merangka pemandangan
melembutkan
mengikat bangunan dan struktur dengan permukaan bumi
menjadi penyatu pelbagai elemen
(c) Fungsi Ekonomi Tumbuhan Lanskap
Selain daripada yang dinyatakan di atas, tumbuhan lanskap mampu menyediakan pemandangan yang baik dan indah serta memberikan faedah kepada masyarakat dan negara dari segi rekreasi, kesihatan, pendidikan dan pelancongan

Tenunan

TENUNAN SONGKET
Sejarah Songket
Songket, lambang kehalusan seni tenunan Melayu yang diwarisi zaman berzaman. Kemahiran dan kretiviti tukang tenun terserlah melalui pengolahan corak dan hasil tenunan yang indah lagi menarik.
Kedatangan pedagang-pedagang ke Tanah Melayu telah menggiatkan lagi perkembangan tenunan tempatan.
Tenunan songket mula berkembang dibeberepa negeri terutama di negeri-negeri Pantai Timur seperti Kelantan, Terengganu dan Pahang.
Di zaman silam, motif dan warna yang terdapat pada tenunan songket melambangkan strata atau kedudukan seseorang.
Secara tradisi, songket ditenun dengan menggunakan benang sutera halus dan benang emas serta dipakai oleh kerabat diraja Melayu dan golongan Bangsawan.
Kini, songket ditenun dengan benang kapas dan mula dipakai oleh golongan rakyat biasa sebagai pakaian rasmi untuk majlis-majlis tertentu.
Keanggunan kain songket, selain dijadikan sebagai pakaian tradisi untuk mempermanis dan memperaga seni budaya, ia juga turut diilhamkan pada pelbagai barangan dalam bentuk beg, bingkai gambar, hiasan dinding, kusyen dan sebagainya.
Tradisi menenun masih dapat dikekalkan tidak berubah sebagaimana seratus tahun dahulu. Alat-alat tenuna atau kek, motif dan ragamhiasnya sera cara menenun itu sendiri memperlihatkan keindahan dan kesempurnaan hasil ciptaan zaman silam yang masih segar hingga ke hari ini.
Motif  
Ragamhias masih dipertahankan terutama dalam aspek pembahagian dan penempatan beberapa bentuk bahagian kain seperti kepala, kaki dan badan kain.
Penyusunan motif pula terbahagi kepada dua susunan bunga penuh dan bunga tabur.
Motif kain songket terdiri daripada dua unsur penting iaitu unsur alam dan tumbuhan.
Motif yang sering digunakan meliputi bentuk bunga, daun atau pucuk dan bahagian tampuk buah-buahan.
Motif-motif rekacorak yang menghiasi kain songket kebanyakannya berasaskan bunga-bungaan.
Dengan teknik menenun yang tersendiri, kesemua bentuk motif terhasil dalam corak geometric.
Motif-motif pada kain songket disusun dengan susunan bunga penuh, bunga bertabur atau susunan bercorak.
Motif pucuk rebung dan lawi ayam sering ditempatkan dikepala kain.
Manakala motif 'awan larat' pula dijadikan sebagai kaki kain (border design).

Susunan Motif Songket
1. Susunan bunga penuh
corak penuh bersulam juga dikenali songket cuban. Motif benang emas dan perak ditenun memenuhi keseluruhan kain.
2. Susunan bunga tabur
corak ditenun secara bertaburan dan tidak terikat atau berangkai antara satu sama lain. Motif bunga yang ditenun ialah bunga tanjung, bunga buah cermai, bunga buah kesemak dan lain-lain. Taburan pada kain songket juga dilengkapi dengan garisan corak di kepala dan kaki kain.
3. Susunan bercorak
susunan motif dibuat secara jaluran berdiri atau melintang.

Proses Tenunan Songket
Kek Tenun
Bahan dan Alat
Benang dan pewarna ialah bahannya. Alatnya pula terdiri daripada kek tenunan, kek mengarat, rahak, peleting buluh (bobbin), lidi daun kelapa, papan gulung, anak kayu, dua belira, sikat dan jentera, jarum culik, batang anak kayu, kayu karat, benang losen, lidi nibung atau buluh, benang batang bunga songket, darwin pakan, darwin benang emas, cuban, torak pakan, torak benang emas dan sumbi.
Teknik dan Proses
Setelah benang dibersihkan dan dimasukkan ke dalam pencelup warna, ia dibilas dengan air dan dijemur hingga kering. Lapan proses lagi yang terlibat sebelum sesuatu tenunan boleh disiapkan ialah melerai, menganing, menggulung, menyampuk, menghubung, mengarak, menyolek dan menenun.
1. Melerai
Benang yang telah kering dimasukkan ke dalam sejenis alat yang bernama rahak untuk diputarkan pada satu alat yang bernama peleting. Proses ini dipanggil melerai. Terdapat dua jenis rahak, iaitu darwin pakan dan darwin emas. Darwin pakan digunakan untuk benang pakan sahaja. Ia diperbuat daripada buluh dan tali atau rotan. Darwin emas pula digunakan untuk benang emas sahaja dan diperbuat daripada kayu atau dawai kerana benang emas kasar dan berat.
2. Menganing
Benang yang telah menjalani proses melerai dimasukkan ke dalam alat menganing untuk menentukan ukuran panjang benang yang hendak dimuatkan pada alat ini. Biasanya segulung benang pakan atau seloseng yang berukuran 26 - 31 m boleh menghasilkan 12 - 14 helai kain.
3. Menggulung
Benang yang telah dianing akan digulung pada papan gulung mengikut lebar gigi jentera dan panjang losen pada papan gulung yang hendak dipasung. Losen ialah benang yang memanjang pada kek. Kedudukan benang perlu diperiksa setiap tiga kali menggulung untuk memastikan susunan kemas.
4. Menyampuk
Menyampuk ialah proses memasukkan benang losen ke dalam gigi jentera atau sikat. Biasanya, proses ini dilakukan di dalam kek mengarak supaya senang untuk menyampuk benang kepada jentera. Setiap lubang sikat disusukan dua urat benang losen. Pada kedua belah hujung sikat itu disusukkan empat urat benang supaya tepi kain tidak terkoyak apabila disangkutkan pada kayu sumbi kain. Sumbi kain ialah sebatang anak kayu yang mempunyai paku di kedua-dua belah hujungnya. Sumbi kain menjaga tepi kain tenun supaya sama jarak dan tidak berkedut.
5. Menghubung
Menghubung ialah proses menyambungkan benang daripada losen kepada benang yang tertinggal pada jentera. Cara ikatannya dipanggil ubung tindas. Proses ini bertujuan menyambungkan benang losen untuk menenun. Meja kecil dinamakan meja hidangan berukuran 10 cm panjang, 8 cm lebar dan 20 cm digunakan untuk menghubung.
6. Mengarak
Kerja mengarak dilakukan setelah selesai proses menyampuk. Mengarak dilakukan dengan melilit benang asing atau benang karat kepada kayu karat, termasuk benang losen. Jumlah karat yang digunakan biasanya hanya dua karat dan setiap karat mempunyai empat batang anak kayu.
7. Menyolek
Kerja menyolek bunga merupakan kerja yang paling rumit dalam proses menenun kain songket. Cara menyolek reka corak adalah dengan menyusulkan lidi-lidi buluh pada benang losen yang dikehendaki. Biasanya kain songket ditenun dengan teknik tekat tiga atau tekat lima. Jika menggunakan tekat lima, setiap lima unit benang losen, satu benang alas ditolak ke bawah dan benang-benang alas ini disengkang pula dengan belira. Setelah benang losen berada di atas, barulah kamu boleh menyolek dalam pelbagai corak pada benang losen dengan menggunakan lidi buluh. Belira dimasukkan pada setiap lidi buluh tadi mengikut giliran. Belira ditegakkan untuk menyenangkan ikatan benang butang. Butang-butang inilah yang akan menjadikan corak atau motif bunga di atas kain songket. Apabila selesai proses menyongket, benang losen bersama karat-karatnya ditukar ke kek tenun untuk ditenun agar menjadi kain songket.
8. Menenun
Menenun adalah proses terakhir, iaitu benang losen dipangkah oleh benang pakan untuk dijadikan kain. Bagi kain songket bercorak penuh, benang emas dilayarkan melalui torak benang emas untuk menghasilkan sulaman motif bunga atau hiasan reka corak penuh. Bagi kain songket corak melintang atau corak bunga bertabur, benang emas dilayarkan melalui cubaan untuk mendapatkan motif-motif yang dikehendaki. Lazimnya selepas satu benang emas dilayarkan, ia dikepuh (beat) dan diikuti pula dengan melayarkan dua benang pakan. Penenun akan menukarkan benang butang mengikut giliran dan corak yang telah ditentukan. Proses ini diulangi sehingga menghasilkan sehelai kain songket.

Anyaman

ANYAMAN BULUH
Buluh merupakan salah satu spesis rumput, sama seperti lalang, jagung dan padi. Buluh yang kadang-kadang disebut bambu atau aur, tumbuh dan membiak dengan mudah di kebanyakan kawasan tropika dan subtropika. Di negara kita terdapat berbagai-bagai jenis buluh. Antaranya buluh akar, buluh batu/tumpat, buluh betung, buluh cina, buluh duri, buluh gading, buluh kasap, buluh minyak/padang, buluh peleting, buluh perindu dan buluh sembilang.
Bagi masyarakat peribumi di nusantara, buluh mempunyai seribu satu kegunaan iaitu sebagai baur kail atau joran, baur panah, bekas membakar lemang, bilah kipas, bilah serkap, galah, pagar, ranting dan batang payung, rakit, sangkak, seligi, sigai, sudip, tabung, tuar, tukil dan sebagainya. Hasil anyaman buluh pula termasuk bakul, dulang, nyiru dan tudung saji. Jenis buluh yang biasa ialah buluh akar, buluh betung, buluh minyak dan buluh gading.
Memproses Bahan
Hanya buluh yang sudah cukup tua digunakan dalam kerja kraftangan. Buluh yang dipilih dipotong mengikut ukuran yang dikehendaki. Berikut adalah langkah memproses buluh :
Merendam
Mengikut cara tradisional, buluh yang siap dipotong itu kemudian direndam di dalam air asam dan air selut selama seminggu. Tetapi kini cara yang lebih mudah digunakan ialah buluh itu direbus bersama campuran soda. Proses ini bertujuan mengeluarkan kandungan gula yang terdapat di dalam buluh, supaya tidak dimakan bubuk dan tahan lebih lama. Dari segi rupa pula, buluh yang telah direndam sedemikian dianggap lebih cantik dan menarik walaupun berbau masam.
Menyalai
Selepas direndam dan direbus, buluh disalai atau diperasap hingga kering. Kemudian buluh dibelah, disepat (memisahkan kulit daripada isi batang pokok) dan diraut. Kedua-dua kulit dan isi batang yang diraut menjadi bilah boleh digunakan dalam anyaman. Bilah bahagian kulit buluh lebih keras dan sukar dilenturkan jika dibandingkan dengan bilah isi. Oleh itu, bilah bahagian kulit lebih sesuai dijadikan rangka atau tulang hasil kraftangan. Dalam pembuatan nyiru, misalnya, bilah kulit dijadikan bingkai untuk anyaman bilah isi.

Sunday, January 8, 2012

tahap perkembangan kreativiti

TAHAP PERKEMBANGAN KREATIVITI


Perkembangan Kreativiti Fisher (1943)

5 Tahap dalam Pemikiran Kreatif;

Peringkat Rangsangan
beri soalan kritikal/boleh mendorong perasaan ingin tahu
Peringkat Penerokaan
pelajar cuba mencari jawapan terhadap soalan yang telah diberikan / pelajar kreatif akan cuba pelbagai cara, gaya, teknik.
Peringkat Perancangan
melalui perancangan secara verbal & visual
Peringkat aktiviti
lakukan tindakan berdasarkan persoalan ‘ bagaimana harus kita mengambil tindakan ke atas cadangan tersebut
Kajian Semula
membuat penilaian/refleksi terhadap keberkesanan tindakkan yang telah dijalankan - untuk tujuan penambahbaikan.


1. E. Paul Torrance (Tersohor dalam bidang/kajian kreativiti). Beliau mencadangkan Ujian IQ bukanlah satu-satunya cara mengukur daya intelektual seseorang. Beliau memperkenalkan instrumen untuk menguji tahap kreativiti sesseorang menggunakan “Torrence Test of Creative Thinking”.

2. June King McFee, mentakrifkan kreativiti sebagai keupayaan seseorang mencipta sesuatu yang baru/mampu mengolah idea baru/lain yang lebih bermakna. Seni tidak terhad kepada hasil karya seni sahaja tetapi juga melibatkan pengalaman estetika. Seni ialah satu bentuk komunikasi yang dipengaruhi oleh konteks budaya.

faktor-faktor penghalang kreativiti

FAKTOR-FAKTOR PENGHALANG KREATIVITI

Di dalam keghairahan seseorang pendidik itu mendidik dan membimbing pelajar, terutamanya di dalam bidang pendidikan seni kadang kala akan wujud pelajar buntu ataupun kabur dalam menghasilkan sesuatu hasil karya seni yang kreatif. Terdapat beberapa faktor yang boleh mengakibatkan seseorang pelajar buntu dalam melahirkan idea-idea kreatif. Diantara faktor-faktor itu adalah:

(i) Tekanan Dari Guru
(ii) Tekanan Dari Rakan Sebaya
(iii) Tekanan Dari Persekitaran

i)Tekanan Dari Guru

Seseorang pelajar itu akan mengalami kebuntuan idea yang sangat ketara dalam proses menghasilkan dan menyiapkan hasil kerja yang kreatif yang telah diberikan oleh guru. Keadaan ini akan berlaku bila mana guru terlalu mengokong tanpa memberikan peluang kepada pelajar untuk menghasilkan rekaan yang diingini. Apabila berlakunya keadaan begini ianya akan menjadi satu tekanan dan ianya juga akan mengongkong pelajar berkenaan untuk memperkembangkan idea-idea kreatif yang terlintas di dalam minda mereka.

Secara tidak langsung, perkara ini akan menjadi satu penghalang kepada perkembangan kreativiti di kalangan pelajar. Sebagai seorang pendidik yang pintar dan berpengetahuan yang luas serta terbuka pemikirannya, beliau sudah semestinya bertindak sebagai pembimbing dan bukannya bertindak sebagai penghalang kepada proses perkembangan pemikiran kreatif di kalangan pelajar-pelajarnya.

Bates, J. K.(2000) menyarankan bahawa seorang pendidik itu perlulah menjadi rakan dan sumber inspirasi kepada pelajar-pelajarnya sendiri di dalam proses membentuk mereka ke arah kecekapan menyelesaikan dan menghasilkan satu karya kreatif yang menarik. Kita sebagai seorang pendidik perlulah bersedia untuk menjadi pakar rujuk kepada pelajar.

Kaedah ‘Problem Solving’ merupakan salah satu cara yang telah dikenal pasti dapat melatih minda pelajar supaya boleh berfikir dengan cara yang lebih baik dan berkesan dalam menyelesaikan sebarang permasalahan yang mendatang.


ii) Tekanan Dari Rakan Sebaya
Faktor tekanan daripada rakan sebaya juga merupakan salah satu sebab yang boleh menyebabkan kreativiti seseorang pelajar itu akan terbantut. Omardin Ashaari(1999) menjelaskan, terdapat empat kumpulan pelajar dan rakan sebaya yang utama di dalam proses pembelajaran di dalam bilik darjah. Empat kumpulan berkenaan adalah:

(i) Kumpulan pelajar yang mempunyai sikap sahsiah yang seimbang dan resional.
(ii) Kumpulan pelajar yang mempunyai sikap sahsiah yang matang dan seimbang.
(iii) Kumpulan pelajar yang mempunyai sikap sahsiah yang seimbang.
(iv) Kumpulan pelajar yang mempunyai sikap sahsiah yang kurang seimbang.

Kumpulan-kumpulan pelajar ini adalah terdiri daripada rakan sebaya yang setiap hari berada disekeliling setiap individu pelajar itu setiap hari. Sekiranya di dalam sebuah kelas itu mempunyai peratusan kumpulan pelajar dari kumpulan satu dan dua, kebarangkalian pelajar-pelajar dari kelas berkenaan untuk menyelesaikan sebarang permasalahan mungkin tidak mempunyai halangan dan tekanan.

Tekanan mungkin akan berlaku dikalangan pelajar kiranya kelas berkenaan mempunyai peratus pelajar dari kumpulan tiga dan empat yang tinggi. Kekurang sikap yang matang dan seimbang dikalangan pelajar dari dua kumpulan ini akan menyebabkan proses kreativiti itu akan menjadi lambat dan lembab. Pengaruh daripada rakan sebaya yang matang dan mempunyai pemikiran yang lebih seimbang akan menjadi satu perlumbaan dan persaingan yang sihat bagi menyelesaikan sebarang permasalahan dengan cara yang lebih kreatif dan efektif. Tekanan dikalangan rakan-rakan sebaya ini boleh dikurangkan sekiranya kelas berkenaan mempunyai purata peratusan yang seimbang pelajar dari semua kumpulan. Ini secara tidak langsung akan wujud satu suasana proses pembelajaran daripada rakan sebaya (learn from peer group). Perasaan rendah diri mungkin akan berjaya dikurangkan.

iii) Tekanan Dari Persekitaran (Budaya dan Keluarga)

Faktor-faktor persekitaran seperti budaya dan keluarga juga adalah di antara faktor-faktor lain yang meyumbang kepada penghalang kreativiti seseorang pelajar itu. Keadaan ceria di persekitaran sekolah dan bilik perlu juga diwujudkan, supaya seseorang pelajar itu dapat bergiat dengan cergas dalam aktiviti pembelajaran. Persekitaran sekolah sperti organisasi, struktur dan suasana pesekitaran yang kurang baik dan tidak kondusif juga merupakan penyumbang kepada tekanan dan menjadi penghalang kepada pelajar untuk berfikir dengan cara yang lebih kreatif.

Budaya dan sikap sambil lewa juga akan mempengaruhi daya dan tahap pemikiran seorang pelajar itu supaya dapat berfikir dengan cara yang lebih kreatif. Ini kerap berlaku terumanya dikalangan pelajar yang lemah disegi pencapaian akademiknya, kerana budaya serta sikap yang kurang menyenangkan ini akan mengurangkan motivasi dan tidak memberikan perangsang kepada mereka untuk memikirkan dan menerbitkan idea-idea baru yang menarik.

Sikap dan sokongan daripada ibu dan bapa juga sangat penting dalam memberikan perhatian terhadap proses pembelajaran anak-anak. Ibu bapa mempunyai pengaruh yang sangat kuat terhadap cara kehidupan seseorang pelajar itu. Mereka merupakan pencetus dan sumber ilham kepada pelajar.
Mereka juga boleh memberikan galakan dan sokongan kepada pelajar untuk berjaya dan mendapat pencapaian akademik yang cemerlang. Sebuah keluarga yang berpecah-belah belah juga boleh menyebabkan tekanan emosi dan perasaan seseorang pelajar itu dalam pembelajaran.

Mac Kinnon (1962) seorang tokoh yang banyak membuat kajian tentang kelompok individu kreatif tertentu seperti Jurutera mengatakan bahawa perbezaan yang ketara ibubapa biasa dengan ibu bapa kreatif adalah mereka saling menghormati dan mempercayai kebolehan anak-anak mereka dalam melakukan sesuatu perkara. Mereka tidak akan berasa ragu-ragu ntuk memberikan kebebasan kepada anak-anak mereka untuk mengenali alam dan membuat keputusan mereka sendiri.Amalan-amalan awal sebegini akan membentuk sifat untuk berdikari yang merupakan satu daripada sikap individu yang kreatif.

Disamping itu juga, kewujudan jarak psikologi diantara anak-anak dan kedua ibu bapa dan faktor ini akan membolehkan mereka lebih bebas berbanding dengan anak-anak yang biasa. Kecenderungan untuk mempunyai sifat bebas dikalangan anak-anak banyak dipengaruhi oleh sifat semula jadi ibu bapa itu sendiri yang lebih gemar akan kebebasan, membenci protokol dan sesuatu yang menyebabkan mereka terikat serta terkongkong.



Tokoh Kreativiti - Ellis Paul Torrance

Beliau merupakan salah seorang daripada penyelidik dan pemikir akademik yang sangat terkenal di dunia. Berbagai kajian dan teori-teorinya dalam bidang kreativiti masih lagi segar dan digunakan dalam bidang pendidikan sehingga hari ini. Berdasarkan kepada penulisan dan kerja-kerja penyelidikannya di dalam bidang kreativiti dan pendidikan akhirnya beliau telah diiktiraf sebagai Bapa Kreativiti (Father’s Of Creativity).

Beliau juga bertanggungjawab dan berjaya mencipta satu kaedah penanda aras bagi membolehkan proses pengukuran tahap kreativiti pada seseorang individu. Instrumen yang telah berjaya beliau bangunkan dan perkenalkan adalah ‘Torrence Test of Creative Thinking’ (TTOCT). Di samping membangunkan pengujian dan pengukuran kreativiti beliau juga mencipta serta memperkenalkan teori kreativiti di dalam proses penjanaan kreativiti seseorang individu. Beliau telah mengaris dan memperkenalkan tujuh perkara utama dalam proses penjanaan kreativiti individu.

Tujuh perkara tersebut adalah:

(a) Penyoalan
Bagi tujuan untuk merangsang pemikiran seseorang pelajar proses penyoalan adalah sangat penting dan perlu dipraktikkan. Di samping itu, penyoalan juga boleh mengalakkan dan merangsang daya pemikiran pelajar berkenaan. Di dalam proses pembelajaran seni visual, sesi kritikan seni boleh melahirkan dan mewujudkan cetusan pemikiran kritikal yang baik.

(b) Penemuan
Penemuan adalah merupakan satu aspek yang penting dalam usaha untuk memberikan galakan dan ransangan oleh guru kepada pelajar untuk tujuan mengalakkan penemuan-penemuan yang terkini melalui kajian dan juga penyelidikan. Dalam hal ini pelajar digalakan mencuba serta melakukan berbagai ekplorasi dan eksperimen bagi mencari penemuan terkini melalui aktiviti-aktiviti seni visual.

(c) Pemerhatian
Pemerhatian ataupun observasi ini adalah merujuk kepada penggunaan pelbagai deria yang terdapat pada manusia. Biasanya apabila kita memperkatakan tentang pemerhatian, ia berkaitrapat dengan aktiviti-aktiviti dan penghasilan lukisan. Di dalam proses pendidikan seni visual, proses pemerhatian tidak hanya tertumpu pada pengamatan sahaja malahan juga merangkumi deria-deria lain termasuklah deria sentuhan, rasa, hidu dan dengar.

(e) Percubaan
Percubaan dan ekperimentasi yang berterusan bagi mendapatkan hasil yang terbaik adalah satu proses penghasilan kerja yang sangat baik diamalkan di kalangan pelajar. Seseorang yang kreatif tidak akan berhenti dari bereksperimentasi bagi memastikan apa yang dihasilkannya adalah sesuatu yang terbaik. Secara tidak lansung proses mendidik pelajar supaya tidak mudah berpuas hati dan berputus asa dalam membuat ekperimentasi akan berupaya membina satu pengalaman yang berguna ketika menghasilkan karya.

(f) Penerokaan
Galakan kepada pelajar bagi membuat penerokaan dan ekplorasi dengan menggunakan pelbagai bahan dan peralatan yang terdapat di sekeliling kita. Dalam konteks ini, pendidik dalam bidang pendidikan seni digalakkan untuk membimbing pelajar untuk menggunakan bahan terpakai yang terdapat di sekeliling mereka dalam proses menghasilkan karya. Proses ini secara tidak langsung akan membuatkan pelajar berkenaan akan menjadi lebih peka dan sensitif di samping berupaya menjadi seorang individu yang mampu untuk menyesuaikan diri dengan keadaan sekeliling.

(g) Memanipulasi
Seseorang individu yang mampu bertindak dan menghasilkan sesuatu melalui bahan atau keadaan yang ada merupakan satu proses memanipulasi yang sempurna. Ini bermakna apabila seseorang pelajar mampu menggunakan bahan dan objek yang berada di sekelilingnya untuk menghasilkan satu karya seni maka proses memanipulasi telah pun berlaku. Manakala di dalam proses pembelajaran seni pula, ia mampu menyedarkan pelajar supaya lebih berjimat cermat di samping mengelakan dari melakukan pembaziran penggunaan bahan semasa menghasilkan karya.

(h) Aktiviti / Bermain

Aktiviti bermain juga boleh meransang kreativiti individu. Bagi seorang kanak-kanak bermain adalah merupakan satu situasi yang penuh dengan keseronokan dan cabaran. Kreativiti seseorang kanak-kanak akan lebih terangsang melalui aktiviti-aktiviti yang sempurna dan berbentuk akademik. Ini dengan secara tidak langsung akan membantu merangsang proses perkembangan pemikiran dan kreativiti yang sihat.

Teori Kreativiti

Teori Perkembangan Kreativiti Wallas

Graham Wallas merupakan salah seorang daripada pengkaji paling awal berkenaan dengan kreativiti dan peringkat-peringkat perlaksanaannya:

PERINGKAT 1

Peringkat persediaan merupakan peringkat awal atau permulaan proses kreativiti itu berlaku.

Pengumpulan Maklumat
Wallas menjelaskan pada peringkat awal proses kreativiti adalah mengumpulkan dan menghimpunkan data serta bahan yang diperlukan untuk penyelesaian sesuatu permasalahan atau pemikiran kreatif. Pada peringkat ini juga seseorang individu itu perlu peka terhadap permasalahan ataupun isu yang akan cuba diselesaikan. Contohya, semua idea-idea ataupun saranan yang diperolehi pada peringkat ini merangkumi dari semua arah. Seterusnya semua idea-idea dan saranan itu cuba dikenalpasti tentang kesahihan, kewujudan dan persoalannya. Pada peringkat akan berlaku proses penyiasatan yang terperinci bagi tujuan untuk memperkayakan idea-idea ataupun saranan tadi.

Selain itu, ia akan melibatkan proses didikan intelek secara ekperimentasi dan juga logikal di samping menagih pengetahuan serta pengalaman seseorang individu itu.

PERINGKAT 2

Proses Penyelesaian Masalah
Pada peringkat ini berlaku juga proses penyelesaian masalah kepada idea-idea dan saranan yang pertama itu. Terdapat beberapa cara penyelesaian pada permasalahan idea pertama ini yang dijelaskan oleh Wallas seperti membaca, mencatat, berbincang, bertanya, mengumpul dan meneroka. Beberapa alternatif penyelesaian difikirkan, beberapa kekuatan dan cara penyelesaian serta kelemahan akan dikenal pasti.

Di samping itu juga, sekiranya seseorang individu itu mengambil kira banyak pandangan serta pendapat dari individu lain, ianya seolah-olah telah lari dari sifat asal kreativiti yang lebih mementingkan keutamaan idea yang asli serta satu identiti yang khusus. Senario ini dilihat belum lagi mendapat jawapan yang jelas dan nyata. Walau bagaimanapun sekiranya seseorang pencipta itu telah pun mendengar pelbagai pandangan daripada pihak lain, perlulah diingatkan bahawa seseorang itu perlu mengesahkan ideanya tersendiri supaya idea berkenaan mudah dan bebas berkembang secara sendiri tanpa sebarang gangguan daripada perkara-perkara lain. Pada peringkat ini, ianya seolah-olah memberikan satu makna dan pengertian kepada penerokaan idea yang pertama. Idea yang pertama tadi juga, akan bertindak sebagai pengerak awal yang memberikan arahan dan sebab- musabab kepada penerokaan tersebut.

Manakala di dalam bidang seni visual pula, ianya memerlukan peringkat persediaan yang lebih khusus. Sesuatu penciptaan yang baru memerlukan satu teknik penciptaan yang mantap dan berkesan. Contohnya, dalam bidang periklanan , citarasa pengguna terlebih dahulu perlu dikenalpasti dan idea yang mana paling kukuh serta berjaya mempengaruhi pengguna. Instrumen penciptaan ini menyediakan pelbagai teknik yang berbeza di dalam proses menzahirkan sesuatu idea baru dalam penghasilan karya seni yang kreatif.

Oleh itu, setiap pencipta perlulah benar-benar mengetahui dan menguasai sesuatu bidang terlebih dahulu sebelum menerokainya. Di peringkat ini juga, emosi seseorang itu akan sarat dengan perasaan berkeinginan dan tidak sabar untuk menyelesaikan permasalahan idea-idea dan saranan tersebut.