Sunday, January 8, 2012

faktor-faktor penghalang kreativiti

FAKTOR-FAKTOR PENGHALANG KREATIVITI

Di dalam keghairahan seseorang pendidik itu mendidik dan membimbing pelajar, terutamanya di dalam bidang pendidikan seni kadang kala akan wujud pelajar buntu ataupun kabur dalam menghasilkan sesuatu hasil karya seni yang kreatif. Terdapat beberapa faktor yang boleh mengakibatkan seseorang pelajar buntu dalam melahirkan idea-idea kreatif. Diantara faktor-faktor itu adalah:

(i) Tekanan Dari Guru
(ii) Tekanan Dari Rakan Sebaya
(iii) Tekanan Dari Persekitaran

i)Tekanan Dari Guru

Seseorang pelajar itu akan mengalami kebuntuan idea yang sangat ketara dalam proses menghasilkan dan menyiapkan hasil kerja yang kreatif yang telah diberikan oleh guru. Keadaan ini akan berlaku bila mana guru terlalu mengokong tanpa memberikan peluang kepada pelajar untuk menghasilkan rekaan yang diingini. Apabila berlakunya keadaan begini ianya akan menjadi satu tekanan dan ianya juga akan mengongkong pelajar berkenaan untuk memperkembangkan idea-idea kreatif yang terlintas di dalam minda mereka.

Secara tidak langsung, perkara ini akan menjadi satu penghalang kepada perkembangan kreativiti di kalangan pelajar. Sebagai seorang pendidik yang pintar dan berpengetahuan yang luas serta terbuka pemikirannya, beliau sudah semestinya bertindak sebagai pembimbing dan bukannya bertindak sebagai penghalang kepada proses perkembangan pemikiran kreatif di kalangan pelajar-pelajarnya.

Bates, J. K.(2000) menyarankan bahawa seorang pendidik itu perlulah menjadi rakan dan sumber inspirasi kepada pelajar-pelajarnya sendiri di dalam proses membentuk mereka ke arah kecekapan menyelesaikan dan menghasilkan satu karya kreatif yang menarik. Kita sebagai seorang pendidik perlulah bersedia untuk menjadi pakar rujuk kepada pelajar.

Kaedah ‘Problem Solving’ merupakan salah satu cara yang telah dikenal pasti dapat melatih minda pelajar supaya boleh berfikir dengan cara yang lebih baik dan berkesan dalam menyelesaikan sebarang permasalahan yang mendatang.


ii) Tekanan Dari Rakan Sebaya
Faktor tekanan daripada rakan sebaya juga merupakan salah satu sebab yang boleh menyebabkan kreativiti seseorang pelajar itu akan terbantut. Omardin Ashaari(1999) menjelaskan, terdapat empat kumpulan pelajar dan rakan sebaya yang utama di dalam proses pembelajaran di dalam bilik darjah. Empat kumpulan berkenaan adalah:

(i) Kumpulan pelajar yang mempunyai sikap sahsiah yang seimbang dan resional.
(ii) Kumpulan pelajar yang mempunyai sikap sahsiah yang matang dan seimbang.
(iii) Kumpulan pelajar yang mempunyai sikap sahsiah yang seimbang.
(iv) Kumpulan pelajar yang mempunyai sikap sahsiah yang kurang seimbang.

Kumpulan-kumpulan pelajar ini adalah terdiri daripada rakan sebaya yang setiap hari berada disekeliling setiap individu pelajar itu setiap hari. Sekiranya di dalam sebuah kelas itu mempunyai peratusan kumpulan pelajar dari kumpulan satu dan dua, kebarangkalian pelajar-pelajar dari kelas berkenaan untuk menyelesaikan sebarang permasalahan mungkin tidak mempunyai halangan dan tekanan.

Tekanan mungkin akan berlaku dikalangan pelajar kiranya kelas berkenaan mempunyai peratus pelajar dari kumpulan tiga dan empat yang tinggi. Kekurang sikap yang matang dan seimbang dikalangan pelajar dari dua kumpulan ini akan menyebabkan proses kreativiti itu akan menjadi lambat dan lembab. Pengaruh daripada rakan sebaya yang matang dan mempunyai pemikiran yang lebih seimbang akan menjadi satu perlumbaan dan persaingan yang sihat bagi menyelesaikan sebarang permasalahan dengan cara yang lebih kreatif dan efektif. Tekanan dikalangan rakan-rakan sebaya ini boleh dikurangkan sekiranya kelas berkenaan mempunyai purata peratusan yang seimbang pelajar dari semua kumpulan. Ini secara tidak langsung akan wujud satu suasana proses pembelajaran daripada rakan sebaya (learn from peer group). Perasaan rendah diri mungkin akan berjaya dikurangkan.

iii) Tekanan Dari Persekitaran (Budaya dan Keluarga)

Faktor-faktor persekitaran seperti budaya dan keluarga juga adalah di antara faktor-faktor lain yang meyumbang kepada penghalang kreativiti seseorang pelajar itu. Keadaan ceria di persekitaran sekolah dan bilik perlu juga diwujudkan, supaya seseorang pelajar itu dapat bergiat dengan cergas dalam aktiviti pembelajaran. Persekitaran sekolah sperti organisasi, struktur dan suasana pesekitaran yang kurang baik dan tidak kondusif juga merupakan penyumbang kepada tekanan dan menjadi penghalang kepada pelajar untuk berfikir dengan cara yang lebih kreatif.

Budaya dan sikap sambil lewa juga akan mempengaruhi daya dan tahap pemikiran seorang pelajar itu supaya dapat berfikir dengan cara yang lebih kreatif. Ini kerap berlaku terumanya dikalangan pelajar yang lemah disegi pencapaian akademiknya, kerana budaya serta sikap yang kurang menyenangkan ini akan mengurangkan motivasi dan tidak memberikan perangsang kepada mereka untuk memikirkan dan menerbitkan idea-idea baru yang menarik.

Sikap dan sokongan daripada ibu dan bapa juga sangat penting dalam memberikan perhatian terhadap proses pembelajaran anak-anak. Ibu bapa mempunyai pengaruh yang sangat kuat terhadap cara kehidupan seseorang pelajar itu. Mereka merupakan pencetus dan sumber ilham kepada pelajar.
Mereka juga boleh memberikan galakan dan sokongan kepada pelajar untuk berjaya dan mendapat pencapaian akademik yang cemerlang. Sebuah keluarga yang berpecah-belah belah juga boleh menyebabkan tekanan emosi dan perasaan seseorang pelajar itu dalam pembelajaran.

Mac Kinnon (1962) seorang tokoh yang banyak membuat kajian tentang kelompok individu kreatif tertentu seperti Jurutera mengatakan bahawa perbezaan yang ketara ibubapa biasa dengan ibu bapa kreatif adalah mereka saling menghormati dan mempercayai kebolehan anak-anak mereka dalam melakukan sesuatu perkara. Mereka tidak akan berasa ragu-ragu ntuk memberikan kebebasan kepada anak-anak mereka untuk mengenali alam dan membuat keputusan mereka sendiri.Amalan-amalan awal sebegini akan membentuk sifat untuk berdikari yang merupakan satu daripada sikap individu yang kreatif.

Disamping itu juga, kewujudan jarak psikologi diantara anak-anak dan kedua ibu bapa dan faktor ini akan membolehkan mereka lebih bebas berbanding dengan anak-anak yang biasa. Kecenderungan untuk mempunyai sifat bebas dikalangan anak-anak banyak dipengaruhi oleh sifat semula jadi ibu bapa itu sendiri yang lebih gemar akan kebebasan, membenci protokol dan sesuatu yang menyebabkan mereka terikat serta terkongkong.



Tokoh Kreativiti - Ellis Paul Torrance

Beliau merupakan salah seorang daripada penyelidik dan pemikir akademik yang sangat terkenal di dunia. Berbagai kajian dan teori-teorinya dalam bidang kreativiti masih lagi segar dan digunakan dalam bidang pendidikan sehingga hari ini. Berdasarkan kepada penulisan dan kerja-kerja penyelidikannya di dalam bidang kreativiti dan pendidikan akhirnya beliau telah diiktiraf sebagai Bapa Kreativiti (Father’s Of Creativity).

Beliau juga bertanggungjawab dan berjaya mencipta satu kaedah penanda aras bagi membolehkan proses pengukuran tahap kreativiti pada seseorang individu. Instrumen yang telah berjaya beliau bangunkan dan perkenalkan adalah ‘Torrence Test of Creative Thinking’ (TTOCT). Di samping membangunkan pengujian dan pengukuran kreativiti beliau juga mencipta serta memperkenalkan teori kreativiti di dalam proses penjanaan kreativiti seseorang individu. Beliau telah mengaris dan memperkenalkan tujuh perkara utama dalam proses penjanaan kreativiti individu.

Tujuh perkara tersebut adalah:

(a) Penyoalan
Bagi tujuan untuk merangsang pemikiran seseorang pelajar proses penyoalan adalah sangat penting dan perlu dipraktikkan. Di samping itu, penyoalan juga boleh mengalakkan dan merangsang daya pemikiran pelajar berkenaan. Di dalam proses pembelajaran seni visual, sesi kritikan seni boleh melahirkan dan mewujudkan cetusan pemikiran kritikal yang baik.

(b) Penemuan
Penemuan adalah merupakan satu aspek yang penting dalam usaha untuk memberikan galakan dan ransangan oleh guru kepada pelajar untuk tujuan mengalakkan penemuan-penemuan yang terkini melalui kajian dan juga penyelidikan. Dalam hal ini pelajar digalakan mencuba serta melakukan berbagai ekplorasi dan eksperimen bagi mencari penemuan terkini melalui aktiviti-aktiviti seni visual.

(c) Pemerhatian
Pemerhatian ataupun observasi ini adalah merujuk kepada penggunaan pelbagai deria yang terdapat pada manusia. Biasanya apabila kita memperkatakan tentang pemerhatian, ia berkaitrapat dengan aktiviti-aktiviti dan penghasilan lukisan. Di dalam proses pendidikan seni visual, proses pemerhatian tidak hanya tertumpu pada pengamatan sahaja malahan juga merangkumi deria-deria lain termasuklah deria sentuhan, rasa, hidu dan dengar.

(e) Percubaan
Percubaan dan ekperimentasi yang berterusan bagi mendapatkan hasil yang terbaik adalah satu proses penghasilan kerja yang sangat baik diamalkan di kalangan pelajar. Seseorang yang kreatif tidak akan berhenti dari bereksperimentasi bagi memastikan apa yang dihasilkannya adalah sesuatu yang terbaik. Secara tidak lansung proses mendidik pelajar supaya tidak mudah berpuas hati dan berputus asa dalam membuat ekperimentasi akan berupaya membina satu pengalaman yang berguna ketika menghasilkan karya.

(f) Penerokaan
Galakan kepada pelajar bagi membuat penerokaan dan ekplorasi dengan menggunakan pelbagai bahan dan peralatan yang terdapat di sekeliling kita. Dalam konteks ini, pendidik dalam bidang pendidikan seni digalakkan untuk membimbing pelajar untuk menggunakan bahan terpakai yang terdapat di sekeliling mereka dalam proses menghasilkan karya. Proses ini secara tidak langsung akan membuatkan pelajar berkenaan akan menjadi lebih peka dan sensitif di samping berupaya menjadi seorang individu yang mampu untuk menyesuaikan diri dengan keadaan sekeliling.

(g) Memanipulasi
Seseorang individu yang mampu bertindak dan menghasilkan sesuatu melalui bahan atau keadaan yang ada merupakan satu proses memanipulasi yang sempurna. Ini bermakna apabila seseorang pelajar mampu menggunakan bahan dan objek yang berada di sekelilingnya untuk menghasilkan satu karya seni maka proses memanipulasi telah pun berlaku. Manakala di dalam proses pembelajaran seni pula, ia mampu menyedarkan pelajar supaya lebih berjimat cermat di samping mengelakan dari melakukan pembaziran penggunaan bahan semasa menghasilkan karya.

(h) Aktiviti / Bermain

Aktiviti bermain juga boleh meransang kreativiti individu. Bagi seorang kanak-kanak bermain adalah merupakan satu situasi yang penuh dengan keseronokan dan cabaran. Kreativiti seseorang kanak-kanak akan lebih terangsang melalui aktiviti-aktiviti yang sempurna dan berbentuk akademik. Ini dengan secara tidak langsung akan membantu merangsang proses perkembangan pemikiran dan kreativiti yang sihat.

No comments:

Post a Comment